 LEBIH 900 bakat baru termasuk dari Sabah, Sarawak dan Labuan dijangka  mengambil bahagian dalam Kem Bakat Badminton KBS-Nusa Mahsuri di  seluruh negara bermula 16 Mac ini.
LEBIH 900 bakat baru termasuk dari Sabah, Sarawak dan Labuan dijangka  mengambil bahagian dalam Kem Bakat Badminton KBS-Nusa Mahsuri di  seluruh negara bermula 16 Mac ini. Legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek berkata, program kem tahun ini dijadual berlangsung di 15 lokasi terpilih dengan Negeri Sembilan dipilih menganjurkan program pertama pada 16 hingga 18 Mac depan.
Program yang sebelum ini dikenali Klinik Badminton KBS-Nusa Mahsuri menyaksikan penyertaan sekurang-kurangnya 60 peserta berusia antara 9 hingga 12 tahun di setiap negeri.
“Objektif kem ini bukan semata-mata bertujuan menyeimbangkan pembangunan sukan badminton di peringkat akar umbi tapi juga mendedahkan golongan muda dengan teknik permainan yang betul selain mengajak rakyat melakukan tranformasi badminton negara.
“Kepada bakat baru  yang ingin menyertai kem ini, mereka diminta menghubungi Jabatan Belia  dan Sukan Negeri berhampiran bagi memperoleh maklumat dan mendaftarkan  diri,” kata Misbun yang bertindak sebagai ketua jurulatih program sambil  dibantu barisan jurulatih Nusa Mahsuri.
Program itu anjuran Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Kelab Badminton Nusa Mahsuri serta Institut Sukan Negara. - Terima kasih & kredit kepada Harian Metro yang menyiarkan artikel ini pada keluaran 26 Februari 2012 lalu.
 
 

 
 
 

 
 







