Adnan Salleh sedang menyampaikan sijil penyertaan kepada para peserta sambil diapit Misbun dan Jalani.Misbun memberi amanat terakhir kepada para peserta pada sesi dialog sebelum bermula majlis penutup.Misbun sedang menunjukkan beberapa teknik asas kepada para peserta sambil Misbun Ramdan (membelakangi gelanggang) bersiap sedia untuk menerima arahan selanjutnya.Kelihatan para peserta khusyuk mendengar dan mengikuti latihan disampaikan Misbun.Misbun sedang melakukan smash manakala Misbun Ramdan kelihatan bersiap sedia membalas hantaran pukulannya.
MAJLIS penutup Kem Bakat Badminton KBS-Nusa Mahsuri telah selamat disempurnakan Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pelajaran Terengganu, Encik Mohd Adnan Salleh bertempat di Kompleks Belia dan Sukan negeri ini tengahari tadi.
Kem selama tiga hari itu dikendalikan oleh jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Dato' Sidek sambil dibantu jurulatih profesional Nusa Mahsuri BC.
Misbun semasa ditemui berkata, sekurang-kurangnya 10% peserta yang mengikuti program ini memiliki bakat untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi lagi.
"Berdasarkan penilaian saya, sebahagian besar peserta yang mengikuti program ini mempunyai asas permainan badminton. Mereka tidak kekok bertanya walaupun pertama kali menjalani latihan dibawah kendalian saya. Ini yang saya mahukan.
"Apa yang lebih penting, usaha saya membawa pemain-pemain Nusa Mahsuri BC bertujuan untuk dijadikan ikon sekaligus memberi ruang kepada para peserta mendalami apa yang dipelajari sebelum ini,"ujarnya.
Bagi memastikan kesenimbungan program seumpama ini berterusan diperingkat akar umbi, bekas pemain perseorangan utama negara itu mahu lebih banyak kemudahan gelanggang di sediakan di setiap negeri. Sekurang-kurangnya dengan adanya percambahan kemudahan gelanggang ini, maka barulah program pendedahan dan lonjakan bakat-bakat muda ini mampu direalisasikan.
Hadir sama pada majlis penutup tersebut ialah Penyelia Kompleks JBS Terengganu, Puan Hajjah Fatimah Mohamad mewakili Pengarah JBS Negeri, Presiden Persatuan Badminton Terengganu, Datuk Syed Bakar Abdullah, Penasihat Nusa Mahsuri BC, Haji Jalani Dato' Sidek, Pegawai Belia dan Sukan JBS Terengganu, Cik Melyani Fitria Indra dan Urusetia program, Encik Mohd Zulhelmi Mohd Yani.